Sunday, December 6, 2015

Status Perkahwinan Mangsa Nahas Kapal Terbang

Kini kapal terbang semakin banyak dan ramai orang yang telah menaiki kapal terbang. Kepesatan teknologi ini mewujudkan permasalahan-permasalahan yang baru khususnya melibatkan kes syariah kekeluargaan.

Antara permasalahan yang wujud berkaitan nahas kapal terbang ialah bagaimana status perkahwinan mangsa nahas kapal terbang, terbubar atau tidak?

Bagi merungkaikan permasalahan tersebut ialah kes mangsa nahas kapal terbang dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama ialah mangsa nahas kapal terbang yang dijumpai mayatnya dan dapat dikenalpasti. Jawapan untuk kategori pertama ini jelas mengesahkan kematian suami atau isteri dan menjadikan ikatan perkahwinan sudah tiada dan harta pusaka boleh dibahagikan.

Kategori kedua ialah mangsa nahas kapal terbang yang tidak dijumpai mayatnya dan usaha mencari pasangannya menemui kegagalan. Walaupun media memaklumkan tragedi nahas kapal terbang dan melaporkan semua penumpang dipercayai terkorban, jawapan bagi keadaan ini ialah status perkahwinan mereka belum terbubar.. Dalam kes seperti ini, ia dianggap kehilangan. 

Walau bagaimanapun, bagi pasangan yang ingin memfailkan perceraian secara fasakh boleh berbuat demikian dengan mendapatkan Anggapan Kematian di Mahkamah Tinggi berdasarkan seksyen 108, Akta Keterangan 1950. Dan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan mengeluarkan sijil kematian sebaliknya hanya mengemaskini maklumat kematian si mati.

Kesimpulannya, jika mangsa nahas kapal terbang dijumpai mayatnya dan dapat dikenalpasti maka status perkahwinan mereka jelas sudah tiada. Manakala jika mayat mangsa nahas kapal terbang tidak dapat dijumpai dan usaha mencarinya menemui kegagalan maka ia dianggap kes kehilangan. Dan menurut undang-undang, apabila kehilangan suami sudah mencapai empat tahun maka pasangan yang masih hidup boleh memohon fasakh. 

No comments:

Post a Comment