Saturday, December 19, 2015

Krisis Pertindihan Bidangkuasa Mahkamah Syariah Dan Sivil

Negara kita Malaysia telah mencapai kemerdekaan melebihi 50 tahun. Namun, terdapat sesuatu yang masih merunsingkan para ahli perundangan, masyarakat Islam dan bukan Islam dek kerana isu pertindihan bidangkuasa di antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil telah menjadi satu krisis yang lama.

Ia umpama mimpi ngeri apabila kita terpaksa berhadapan dengan kondisi-kondisi di mana mahkamah syariah menutup peluang kemasukan kes kekeluargaan orang bukan Islam manakala mahkamah sivil pula menutup peluang membicarakan kes kekeluargaan orang Islam.

Contohnya dalam kes Izwan Abdullah seorang mualaf yang berusaha mendapatkan hak jagaan anak daripada bekas isterinya, S.Deepa. Mahkamah Persekutuan memutuskan hak penjagaan anak diberikan kepada bekas isterinya. Dalam masa yang sama, Mahkamah Syariah Seremban memutuskan hak penjagaan anak diberikan kepada Izwan Abdullah memandangkan anak-anak itu telah diislamkan. Ini amat mengejutkan semua pihak sehingga polis turut campur tangan untuk membantu Izwan, bekas isteri dan anak-anaknya.

Lebih ironi apabila dalam perkara muamalat seperti perbankan Islam turut diadili oleh mahkamah sivil dan bukan dibicarakan di mahkamah syariah.  Sewajarnya mahkamah syariah diberikan bidangkuasa untuk mengadili segala kes yang berhubungan dengan perkara hukum syarak. Indikasinya ialah para hakim di mahkamah syariah lebih faham dan lebih mahir dengan prinsip-prinsip syariah.

Apabila mahkamah syariah membicarakan kes-kes yang berhubungan di antara orang Islam dan bukan Islam, bukan bermakna hakim perlu memenangkan orang Islam. Ia mestilah dengan berdasarkan kepada prinsip-prinsip keadilan yang sebenar. Sejarah Islam juga telah menunjukkan bahawa hakim pernah memenangkan orang bukan Islam kerana hujahnya lebih kuat dan benar.


Justeru, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu diluaskan penafsirannya dan dimartabatkan. Dan Butiran 1 Senarai Dua Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda agar segala perkara yang berhubungan dengan hukum syarak  sama ada dalam hal kekeluargaan, muamalat dan lain-lain mahkamah syariah diberikan bidangkuasa untuk mengadilinya walaupun yang melibatkan kes orang bukan Islam seperti mualaf atau perbankan. Asasnya, bidangkuasa pengadilan kes yang berhubungan dengan hukum syarak mestilah di bawah bidangkuasa mahkamah syariah. Kini, Negara Brunei telah pun menjadi contoh dengan memulakan idea ini dengan membenarkan mahkamah syariah turut membicarakan kes yang berhubungan dengan orang bukan Islam selain kes orang Islam.

No comments:

Post a Comment