Monday, November 30, 2015

Usaha Memperkasa Hukuman Jenayah Syariah

Dalam nas-nas syarak dan ilmu fiqh telah menyebutkan terdapat 6 jenis hukuman hudud iaitu Zina, Qazaf (Tuduh Zina), Minum Arak, Mencuri, Merompak dan Riddah (Murtad). Bagi penzina yang belum berkahwin akan dihukum dengan 100 kali sebatan manakala bagi penzina yang sudah berkahwin akan dihukum dengan  rejam sehingga mati. Bagi penuduh zina yang tidak membawakan bukti perlu dihukum dengan 80 kali sebatan kerana cuba mencemari maruah seorang wanita yang suci. Bagi kesalahan minum arak pula akan dihukum dengan 40 kali sebatan. Bagi kesalahan mencuri akan dihukum dengan potong tangan. Menurut sebahagian ulama setakat pergelangan tangan sahaja. Bagi kesalahan merompak pula jika dia melakukan pembunuhan maka akan dihukum bunuh tetapi jika hanya merompak sahaja maka akan dipotong tangan dan kakinya secara bersilang. Dan bagi kesalahan murtad (keluar dari agama) akan dihukum dengan hukuman bunuh jika sudah diminta bertaubat sebanyak 3 kali tetapi masih enggan.

Melihat kepada hukuman-hukuman ini ramai dalam kalangan masyarakat yang terbahagi kepada dua kumpulan. Sebahagian umat Islam di negara kita menyokong pelaksanaan Hudud ini di Malaysia. Manakala sebahagian lagi tidak bersetuju dan menolak iaitu terdiri dalam kalangan orang bukan Islam.

Fenomena ini dapat kita lihat pada masa pembentangan Rang Undang-undang Persendirian Negeri Kelantan Kanun Jenayah Syariah II 2003 oleh parti Parti Islam Semalaysia (PAS) yang mana telah mendapat majoriti undi sebanyak 43 undi. Namun, ia hangat diperkatakan sehingga terdapat bantahan daripada bukan Islam di laman-laman social. Tambahan pula, Presiden Badan Peguam Malaysia, Steven Thiru berpendapat bahawa ‘Hudud Adalah Tidak Mengikut Perlembagaan, Mendeskriminasi dan Memecahbelahkan’. Antara kes yang dirujuk ialah Che Omar Bin Che Soh v. Public Prosecutor (1988), Negara Malaysia adalah sekular kerana Perlembagaan Persekutuan bersifat sekular.

Namun, ia dibantah oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang menjelaskan bahawa tiada pernyataan ‘Negara Islam’ dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermakna negara  ini adalah negara sekular.  Ia berdasarkan kes Menteri Dalam Negeri & Ors v. Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (2013) yang menegaskan bahawa ‘struktur asas’ Perlembagaan Persekutuan adalah Islam.

Masyarakat seharusnya tidak perlu risau dengan hukuman hudud ini kerana terdapat hikmah disebaliknya iaitu pelaksanaan hukum hudud ini tidak lain hanya bertujuan mendidik dan pencegahan agar kes-kes jenayah dapat dikurangkan. Menurut Kajian Saintifik oleh Saintis Rusia, Dr. Sergei Speransky dan Dr. Marina Chuhrova, menyatakan bahawa hukuman sebatan dengan rotan boleh mengurangkan kadar alkohol dalam badan dan menyedarkan peminum arak.[1] 

Oleh yang demikian, pindaan perlu dilakukan pada Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah Syariah) dan Perkara 76A(1), Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelaksaan hukum hudud.[2] Untuk peringkat permulaan ini bukan semua jenis hukuman hudud mahu dilaksanakan sebaliknya pada peringkat awal ini hanya 3 jenis hukuman hudud sahaja yang mahu dilaksanakan dan ianya fokus kepada hukuman sebatan iaitu kesalahan minum arak, kesalahan zina orang belum berkahwin dan kesalahan menuduh seseorang wanita berzina dengan tanpa bukti yang kukuh.[3] Dan tanpa disangkal lagi cara sebatan sivil lebih berat berbanding cara sebatan syariah.




[1] http://www.news-medical.net/news/2005/03/29/8788.aspx
[2] Akhbar: Berita Harian. Ruangan Agama. Mohd Fasha Musthafa. 25 Mac 2015.
[3] Akhbar: Harian Metro. Ruangan Jenayah Syariah. Wan Asrudi Wan Hasan. 30 Mac 2015.

No comments:

Post a Comment